Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lata Janggut telah lama ditubuhkan. JKKK Kampung Lata Janggut mempunyai ahlinya sendiri yang menguruskan organisasi ini sebagai sebuah organisasi perantaraan antara penduduk kampung dengan kerajaan. Antara matlamat penubuhan JKKK Kampung Lata Janggut ialah mengubah kampung tradisi kepada sebuah kampung moden, melahirkan insan rabbani, madani serta mewujudkan kampung yang maju, menarik dan membangun. Pihak JKKK dan penduduk kampung ini turut berusaha menaik taraf pendidikan anak-anak kampung serta ekonomi penduduk.
Selain berusaha memajukan kampung, JKKK juga tidak mengabaikan hubungan baik antara penduduk melalui penganjuran pelbagai aktiviti atau program kemasyarakatan. Program-program sambutan Israk Mikraj, sambutan bulan kemerdekaan dan Sukan Bersama Rakyat setempat sering dianjurkan bersama agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).